Isnin, 18 Mei 2009

Selamat Hari Guru



Sudah lama rasanya aku tidak menulis di blog ku ini..mungkin kerana kesibukan tugas yang sentiasa menghambat dan juga perasaan malas untuk mencoret membuatkan blog ku ini sepi tanpa sebarang nukilan.. biasanya aku akan menulis di tengah keheningan malam, tatkala semua orang sudah lena diulit mimpi dan mataku masih liat untuk terpejam..

Sedar tidak sedar, tinggal 3 minggu lagi aku akan berpraktikal di SMK Seri Serdang ini. Banyak pengalaman yang aku timba, pengalaman menjadi seorang pendidik dan menjadi seorang manusia yang punyai perasaan. Tugas sebagai seorang guru ternyata sangat mencabar. Seandainya betul-betul dihayati tugas ini, mahu psikotik aku di buatnya. Tugas sebagai seorang kaunselor di sekolah ini ternyata memberiku sejuta rasa. Macam-macam cerita, pengalaman dan emosi yang aku tempuhi. Gembira, duka mahupun lara semuanya bercampur baur menghasilkan rasa yang cukup unik, cukup untuk memanusiawi kan diriku yang bergelar manusia..

Masih lagi segar di ingatan bila aku mengendalikan satu sesi kaunseling kelompok untuk sekumpulan pelajar tingkatan 1, bila aku bertanya tentang ibu bapa, masing-masing bercerita hinggalah tiba kepada seorang pelajar, beliau terus menangis.Linangan air mata yang mengalir menuruni pipi mulus itu, nampaknya cuba untuk ditahan, tapi tetap gagal kerana ianya tetap laju merembes keluar. Membawa sejuta rasa pilu seorang insan kecil yang baru berusia 13 tahun.
Aku perasan sejak dari tadi, wajahnya lain macam bila hal ibu bapa dibangkitkan. Rupa-rupanya beliau umpama anak yatim, sedari kecil tidak pernah mengenali siapakah ayahnya. Ibunya pula lari meninggalkan beliau adik beradik mengikut jantan lain. Aku difahamkan, beliau adik beradik sekarang ini dijaga oleh seorang nenek yang langsung tiada pertalian darah.Kononnya mereka ditumpangkan sekejap di rumah nenek kerana ibunya ingin mencari kerja, tapi terus tidak pulang-pulang.
Nenek menyara mereka adik beradik hanya dengan menjual kuih. Tetapi kesemua anak-anak itu tidak dipisahkan atau dihantar ke rumah kebajikan masyarakat. Betapa murninya hati seorang nenek. Sejak dari itu, aku selalu juga membeli nasi bungkus ataupun kuih dari nenek, lebih kepada niat untuk membantu dan menyumbang kerana mengagumi niat dan hati nenek yang sungguh mulia. Mendengar cerita sayu pelajar itu yang tersekat-sekat dengan linangan air mata, hatiku juga berombak-ombak menahan tangisan air mata agar tidak mengalir keluar. Betapa aku simpati dengan dirimu wahai adikku, bersabarlah dan percayalah jikalau dirimu berusaha untuk mengubah masa depanmu, Allah pasti akan membantumu. Aku sebagai guru, akan sentiasa mendoakan kesejahteraanmu..

Tidak lupa juga aku pengalaman mengandalikan kes-kes lain. Masalah mencuri, gangster, video lucah, minum arak,rokok, dadah, mental disorder, cintan cintun , masalah member, kekeliruan kerjaya antara pengalaman yang sempat aku kendalikan sepanjang 3 bulan ini. Mula-mula mengendalikan kes, naik biol juga aku dibuatnya. Sempat lah kena demam sekejap. Lama kelamaan barulah aku dapat menyesuaikan diri dan belajar untuk menerima kenyataan. Aku cuba menjalankan kewajipanku dengan sebaik mungkin walaupun kadangkala terlemah semangat juga dibuatnya. Apapun ini lah hakikat seorang guru, bukannya mesin atau pun kereta yang ingin dihasilkan, tapi adalah seorang MANUSIA. Kepimpinan melalui teladan, berkat menjadi seorang guru, aku rasa aku juga banyak belajar memperbetulkan diriku ke arah yang lebih baik.Mudah-mudahan istiqamah hendaknya.

Menerima mesej SELAMAT HARI GURU dan hadiah dari pelajar-pelajar adalah sesuatu yang sungguh bermakna. Satu perasaan yang sukar untuk dimengertikan..Buat anak-anak muridku, kalian tetap abadi dalam ingatan cikgu.. Kalaupun cikgu tidak kaya dengan wang ringgit, yang pastinya cikgu berbangga kerana cikgu kaya dengan anak murid.. dan ianya pasti akan menjadi lebih bermakna kalau anak-anak murid cikgu menjadi insan yang berjaya dunia dan akhirat.. insyaAllah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan