Rabu, 25 Februari 2009
coretan
Kita tidak akan merasa nikmat sihat sehinggalah badan kita merasa sakit.Kita tidak akan merasa nikmat masa yang terbuang sehinggalah umur kita sudah tua dan tatkala itu baru kita menyedari bahawa tidak banyak yang telah kita lakukan di dalam kehidupan kita ini.Banyak penyesalan timbul setelah terjadinya sesuatu dan kehilangan sesuatu.Kita mula menghargai ibu dan ayah setelah ibu dan ayah pergi, kita mula menghargai keseronokan belajar setelah kita bekerja, kita mula menghargai kawan2-kawan setelah kita merasa kesunyian kerana tiada kawan dan kita mula menghargai masa setelah kita terlalu sibuk hingga susah untuk mecari masa berehat. Ketika itulah baru kita menghargai apa yang ada di dalam kehidupan kita ini, hatta dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara.
Pernah sekali ketika aku mahu meninggalkan rumah kerana cuti sem telahpun tamat. Ya Allah, rasa sayu betul di dalam hati. Seolah-olah masih tidak puas tinggal di rumah dan aku tidak mengisi masa cuti yang telah diberikan dengan sebaik mungkin. Rasanya tidak banyak khidmat yang dapat aku berikan kepada orang tuaku, masa banyak dihabiskan dengan perkara-perkara yang tak sepatutnya. Ketika itu, timbul rasa penyesalan di dalam hati, alangkah indahnya kalau cuti ini dapat dipanjangkan sedikit untuk aku menambah bakti kepada orang tuaku, melakukan sesuatu yang bermanfaat di rumah bukan hanya sekadar tidur, melepak dengan kawan2 dan menonton TV. Tapi ketika itu, barulah aku sedar bahawa apapun masa cuti takkan dapat dikembalikan. Ia telah berlalu pergi dan apapun aku tetap perlu menaiki bas pada malam itu. Arrghhh...perasaan menyesal membuak-buak..
Satu pengajaran besar yang ku dapat : Hargailah apa sahaja yang ada disekeliling kita, sentiasa bersyukur dan manfaatkan nikmat yang Allah kurniakan dengan sebaiknya.
Ahad, 22 Februari 2009
7 Perkara Yang Membuat Anda Bermotivasi Di Waktu Pagi
Shukri Abdullahn13@m
Perkara terbaik yang anda patut lakukan di waktu pagi, adalah :
1. Bersyukur, bersyukur, bersyukur.
Bersyukurlah sebab anda masih diberi peluang untuk meneruskan hidup, anda juga masih ada kesempatan untuk melakukan yang terbaik hari ini, lebih baik dari yang kelmarin.
2. Tekad Bermotivasi.
Pasang niat dalam hati yang anda mahu jadi bersemangat sepenuhnya. Ambil beberapa artikel-artikel motivasi pendek dan baca dalam seminit dua.
Di waktu awal pagi, jangan buka email, baca newspaper, baca gosip-gosip mahupun join sesi mengumpat bersama kawan-kawan. Sebab, ia menerbitkan energi negatif lalu menghalang anda dari bermotivasi sepanjang hari.
3. Dekatkan Diri Dengan Sesi Motivasi.
Ikuti sesi-sesi motivasi di media, misalnya Motivasi Pagi di TV3 dan sesi motivasi Dr Izzy di Hot FM. Luangkan masa 3-5 minit memberi motivasi pada diri sendiri melalui sesi-sesi motivasi pendek ni.
Motivasi harus dijaga, sebab kalau tak di jaga ia mudah turun. Kesannya, anda menjadi tidak bersemangat, lemah longlai dan lemas.
4. Dalam Apa Jua Yang Anda Buat, Mulakan Dengan Bismillah.
Bila anda mula punch card nak masuk kerja, baca bismillah, moga anda dijauhkan dari bisikan syaitan yang membuat anda lalai, mengantuk, macam tak cukup ‘cas betri’ saja.
Andai kata anda seorang pelajar, bermula dari nak masuk kelas, duduk di kerusi anda dan mula nak bukak buku, mulakan semuanya dengan bismillah. Moga apa jua yang anda lakukan mendapat keberkatan.
Masuk saje ke dalam kelas, pasang niat anda mahu menuntut ilmu. Bila istiqamah melakukannya, anda punya peluang cerah untuk menjadi cemerlang!
5. Set Target Kemajuan Diri SendiriIni juga kurang dititikberatkan.
Bila dah keluar rumah sama ada ke kelas atau ke tempat kerja, kita tak tahu apa yang kita nak capai hari tu. Betul tak?
Kita hanya nak sampai di sana, bekerja (atau menghadiri kelas) lepas tu nanti petang balik rumah, berehat, makan, minum, pastu tidur. Esok pagi, bangun dan perkara sama berulang lagi.
Hidup Anda bagai dalam 1 bulatan, situ-situ saja.
Mulai hari ini, ubah sikap anda. Set target apa yang anda mahu capai, lagi best setkan untuk setiap hari.
Andai anda seorang pelajar, set target berapa bab yang anda nak ulangkaji, berapa buah buku yang anda nak baca dalam minggu ni, berapa soalan anda nak bertanya pada lecturer atau guru anda nanti.
Andai anda seorang usahawan, set target berapa jualan yang anda nak capai hari ini dan berapa keuntungan yang anda nak dapat hasil dari bisnes anda. Set juga apa yang anda nak pelajari hari ni dalam bidang bisnes anda.
Andai anda seorang pekerja, set berapa tugas yang anda nak siapkan dan set limit masa untuk anda menyiapkan segalanya. Kecekapan seorang pekerja di nilai dari kepantasan, ketepatan dan kekemasan.
6. Lihat Warna Cerah
Warna boleh mempengaruhi mood.
Warna cerah membuat kita jadi energetik, ceria dan penuh dengan idea.
Setiap hari, lihat warna-warna yang cerah seperti kuning, merah, biru dan hijau. Cara ni saya dah test sendiri, berkesan sungguh!
Dekatkan diri dengan benda-benda berwarna cerah sebab ia mampu merubah mood anda menjadi positif.
7. Penuhkan Hati Dengan KemaafanLepaskan segala yang dulu-dulu.
Maafkan orang diwaktu pagi, maafkan kesalahan semuanya dari dulu sampai sekarang.
Lepaskan dendam, rasa tak puas hati, geram, sakit hati dan yang sewaktu dengannya.
Andai emosi-emosi negatif ni bersarang di hati (walaupun sedikit) ia menghalang motivasi.
Kesannya, anda jadi orang yang tak bersemangat langsung.
Lebih teruk, anda jadi orang yang berfikiran negatif, hanya nampak yang negatif dalam diri setiap orang, setiap situasi dan setiap benda.
Anda mesti berubah untuk kemajuan diri.
BERANI BERUBAH UNTUK KECEMERLANGAN HIDUP!!
Training Of Trainers
Alhamdulillah kursus Training Of Trainers (TOT) telah selamat dijalankan di Kolej Keenam pada 22 Mac 2009. Aku memanjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana telah memudahkan urusan dan melancarkan segala perjalanan majlis. Terima kasih aku ucapkan kepada Ku azri dan Nazri kerana telah sudi meluangkan masa berkongsi ilmu dengan para peserta. Kursus ini telah berjalan selama sehari dari pagi hingga ke petang dan ianya adalah yang pertama kali pernah diadakan di kolej ini sepanjang aku belajar di sini. Tahniah kepada pengarahnya Cik Zainab. Tahniah juga kepada para peserta kerana respon yang ku terima daripada Ku Azri yang perasan muda itu, adalah cukup baik sekali=)penglibatan kalian semua agak aktif dan cukup memberansangkan.
Semasa mula-mula menyertai One Step Management Consultant Sdn. Bhd, aku memang dah memasang niat untuk belajar segala ilmu yang berkaitan dengan dunia training. Aku tidak mempedulikan tentang status consultant (kecil ataupun besar) kerana aku tahu jumlah bilangannya di Malaysia agak banyak. Masing-masing mempunyai cara, pendekatan dan stail yang tersendiri. Aku boleh pilih yang mana aku suka asalkan aku menunjukkan kesungguhan terhadap apa yang aku mahukan. Yang penting , buat masa ini aku perlu pilih SATU untuk belajar. Ternyata, One Step adalah pilihan yang agak tepat. A lot of thing I can learn from all of you..
Bukan itu sahaja, sedari awal lagi aku sudah memasang niat untuk berkongsi sedikit sebanyak ilmu yang ku pelajari ini dengan warga kolej. Dan Alhamdulillah, hubungan yang dijalinkan dengan One Step bukan hanya melibatkan diriku malah dapat dikembangkan juga pada adik-adik. Walaupun ini mungkin bukan menjadi KERJAYA kepada mereka, tetapi ilmu dan pengalaman yang ditimba ternyata cukup baik untuk membangun dan mengembangkan potensi diri. Aku optimis dan percaya kepada prinsip kaunseling yang selama ini aku belajar, yang mana berbunyi begini “semua manusia mempunyai potensi untuk berubah ke arah yang lebih baik”. Dengan penubuhan Akademi One Step merangkap Akademi Alumni K6 (perancangan jangka masa panjang), ianya sedikit sebanyak dapat menjadi medium kepada para pelajar untuk lebih belajar tentang ilmu kefasilitatoran, membangunkan potensi diri, membina skill, saluran untuk membina persahabatan, melepaskan tensyen, mencari sedikit duit poket dan sebagainya.
Bercerita tentang dunia training ataupun kefasilitatoran, ternyata ianya adalah cukup besar dan meluas sekali. Dengan sedikit sebanyak pengalaman yang aku lalui, terdapat pelbagai cara dan suasana yang membentuk ciri dan budaya seorang fasilitator yang berkualiti. Kadangkala, lain program yang kita sertai, lain cara, suasana dan budayanya. Ada yang sempurna dan ada yang tidak sempurna, ada yang bagus dan ada yang kurang bagus, ada yang guna pendekatan islamik dan ada yang tidak, segalanya terpulang kepada cara kita melihat dan mengambil perkara tersebut. Apapun dalam hal perkara asas seperti etika seorang fasi, ianya adalah tetap sama.Sebenarnya dalam pembelajaran berkenaan manusia ini, ia adalah agak abstrak dan tidak terikat kepada satu-satu teori atau pegangan, terpulang kepada kita memilih dan mengambil sesuatu yang sesuai dengan diri kita..nanti akan ku huraikan dalam penulisan yang seterusnya..apapun tahniah kepada semua!! Chayookk, ayoh kita jadikan kehidupan ini lebih bermakna dengan belajar membantu orang lain..
Rabu, 18 Februari 2009
Pagi Yang Cukup Bermakna
(Betapa nikmatnya anugerah yang kau beri Tuhan, di sini kami dapat memilih apa sahaja menu makanan yang kami inginkan, tapi sahabat-sahabat seislam kami di Kota Gaza, entah mereka dapat bersarapan atau tidak pada pagi ini.Kau mudahkanlah urusan mereka ya Allah)
Ketika sedang enak bersarapan dan berborak, tiba-tiba kawanku menegurku sambil menjeling ke arah sesuatu, “cuba lihat Asyraf, budak sekolah tu buat apa, dia beli rokok ataupun tak?”. Aku terpinga dan melihat ke arah kaunter. Seorang budak sekolah dan mamak sedang berurusan sesuatu . Mamak tersebut melihat ke arah kami dan menggeleng-gelengkan kepalanya kepada budak tu. Selepas budak itu berlalu dengan motosikalnya (bersama wajah yang hampa), kawanku tiba-tiba menegur mamak terbabit “Anney, ingat arr kalau jual rokok sama budak sekolah, saya report polis,” tegur kawanku kepada anney tersebut sambil tersenyum. Aku tengok, cuak jugak muka mamak tu. “Tak tak, kami tak jual,” jawab mamak tu dengan penuh kecuakan.
Kawan ku memberitahuku, bahawa sebelum ini juga dia pernah menegur mamak di kedai ini kerana menjual rokok kepada budak sekolah. Patutlah mamak tu nampak semacam je kat kami. Rasa tergelak hati aku bila melihat wajah mamak tadi. Kedengaran tokey kedai tue marah-marah sesuatu kepada pekerjanya ( dalam bahasa tamil), mungkin dah tak benarkan pekerjanya menjual rokok kepada mana-mana pelajar sekolah. Selepas itu, ada lagi beberapa pelajar lelaki yang datang untuk membeli rokok, tetapi semunya pergi dengan wajah yang kelat. .
Dalam diam, aku kagum dengan semangat pendidik yang cukup menebal di dalam hati kawanku ini. Rasa keperihatinannya kepada anak bangsa masih tinggi. Perihatin walaupun budak sekolah itu bukan adiknya ataupun saudaranya. Inilah sepatutnya sikap yang perlu ada di dalam masyarakat kita. Kalaulah semua ahli masyarakat begini, perihatin dan saling bekerjasama, aku rasa gejala sosial di kalangan pelajar-pelajar sekolah pada hari ini sedikit sebanyak mungkin dapat dikurangkan.Ternyata sikap ambil berat dan KEPEDULIAN inilah yang makin kurang di dalam masyarakat kita pada hari ini. “Tak perlu peduli pasal orang lain, yang penting hidup DIRI SENDIRI senang dan tak ada masalah”.
Ternyata, semangat KEPEDULIAN cukup menebal di kalangan orang-orang yang terdahulu. Dahulu, jikalau aku curi-curi pergi mandi sungai di Kg Batu Garam dengan abangku, pasti tatkala pulang ibu ku sudahpun mengetahui. Ada orang yang memberitahunya dan terimalah kami berdua habuan istimewa daripada ibu. Jikalau bergaduh dengan kawan-kawan sekolah pun, ayah aku boleh tahu. Pernah sekali semasa darjah 4, aku dan kawanku mengadakan temujanji untuk bergaduh di luar kawasan sekolah. Macam dalam drama, kami berdua berkungfu di antara satu sama lain dan disekelilingnya ramai pulak yang menyorak dan member i galakan, serasa macam dalam cerita Ongbak pulak. Dalam perjalanan pulang, entah macam mana ayah aku boleh datang ambil dengan motosikal dan di rumah, lagi sekali aku terima habuan dari ayahku. Sup rotan dan tomyam tali pinggang. Waduh, sedap betul, pkena skali sudah cukup membuatkan rasa kenyang seumur hidup. Dalam hatiku “bongok betul orang yang bagitahu ni ”, tapi kerana orang tersebutlah, aku rasa aku dapat jadi orang pada hari nie.Bila dah dewasa, ucapan terima kasih pulak yang nak aku ucapkan.Kalau tidak kerana beliau, mungkin hari ini aku dah jadi pengganti Castello..
Oleh kerana itulah, sebagai ahli masyarakat aku berpandangan bahawa sewajarnya kita turut menyumbang kepada masyarakat. Bukan hanya punyai perasaan cukup jikalau dapat senangkan diri sendiri hingga tak perlu pedulikan tentang orang lain. Dalam kehidupan ini, kita sebenarnya bukan hanya dibesarkan oleh ahli keluarga, tapi dalam masa yang sama kita juga turut di besarkan oleh masyarakat…
PAGI YANG CUKUP TENANG, TAPI MEMBERI TAZKIRAH KEHIDUPAN YANG CUKUP BERKESAN PADA DIRI DIRIKU..TERIMA KASIH SAHABAT..
Ahad, 15 Februari 2009
The power Of Mind
Sabtu, 14 Februari 2009
BANGUN DAN BANGKITLAH MAYAT-MAYAT DI KOTA GAZA
Di celah-celah hujan mortar dan bedilan yang berantakan
Di celah-celah semangat yang tidak pernah padam
Bangun dan bangkitlah mayat-mayat di kota Gaza.
Kemudian beraraklah ke jalanan antara mayat-mayat
Kibarkan panji-panji dan manifesto wahdah
Gantungkan carik-carik baju yang telah terpercik darah
Lalu bakar dan sepaktendangkan anjing-anjing Zionis
Lalu bakar dan pijaklumatkan anjing-anjing Yahudi
Lalu bakar dan hancurkecaikan anjing-anjing Israel
Bahawa ini adalah perutusan dari langit intifada.
Gapura ini akan terus bermandi darah
Kerana antagonis Israel adalah haiwan-haiwan buas
Maka sudah sampai masanya untuk sekalian syuhadah
kembali hidup dan memusnahhancurkan haiwan Yahudi
Dan berarak ke Kota Gaza – Palestin bumi Anbiya’
Dengan laungan semarak api.
Ketika saat genting ini – udara kian menjadi liar dan nanar
Matahari menjadi semakin pudar
Namun kerana kalian adalah jiwa-jiwa api
Perlu bangun dan bangkitlah, kerana
Kerana konflik demi konflik
Pencabulan demi pencabulan
Penganiayaan demi penganiayaan
Adalah tanda api-api permusuhan
Tidak akan padam, dan tidak akan pernah padam.
Di kota berdarah ini,
Bangun dan bangkitlah mayat-mayat di Kota Gaza
Kemudian beraraklah ke seluruh bumi Anbiya’
Dengan laungan Kalimah Allahu Akbar
Kerana kalian barisan jundullah – di syurga sedang tersedia
Zat harum untuk barisan intifada.
Bahawa ini adalah tsunami kebangkitan perjuangan
Bangun dan bangkitlah mayat-mayat di kota Gaza
Bangun dan bangkitlah mayat-mayat di kota Intifada.
???
.... jatuh cinta !!
Serasanya
Ini kali pertama
Tatkala berdepan, berbicara
Hatiku jadi gelora
Sombong, malu, ego
Benci dan cuba untuk membenci
Pergi jauh bayanganmu dari sini
Denganmu
debunga beracun ungu karmila menghantuiku
lantas mewujudkan ilusi
mewarnai ku dengan fantasi
aku jadi bingung
dengan diriku sendiri
kadangkala kau jadi siang
kadangkala kau jadi malam
kadangkala kau penyeri
kadangkala kaulah duri
mencucuk halus hatiku dalam diam yang berdarah.
Kenapa semestinya begini??
Hati berontak namun akal tetap kuat mewaraskan
Diriku telah dipagari oleh buluh runcing dari tanah kelahiranku
Buluh suci kudus kiriman malaikat dan syorga.
Tapi aku bukan malaikat??
Walaupun semuanya ingin jadi baik seperti malaikat
Seperti kemahuan kedua orang tuaku..
Bersabar dan berdoalah..
Kerna Tuhanmu pasti kan menunjukkan jalan...
Bajingan
sungguh tuhan, aku jadi keliru..syaitan dan nafsu bajingan apakah yg kau hantarkan ini..hingga lelah dan penat iman dan warasku menentangnya..semuanya gara-gara perkhabaran yang ku dapat tadi..
ya tuhan, aku hambamu yang lemah..hambamu yang tidak berdaya tanpa bantuan dariMU..Ku mohon, berilah aku jalan..ternyata cabaran meniti kedewasaan bukannya mudah, tanpa iman dan iktikad yang cukup kental di hati..
Tuhan, kenapa mataku masih silau untuk membedakan antara kaca dan permata..sedangkan di tanganku sudah punya azimat keramat bermata sakti..
Ia, jawapan karomahMu muncul di hati.. "
"Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah PERMAINAN DAN SENDA GURAUAN, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba dalam kekayaan dan anak keturunan, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani, kemudian (tanaman) itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti)ada azab yang keras dan ampunan daripada Allah serta keredhanNya. DAN KEHIDUPAN DUNIA TIDAK LAIN HANYALAH KESENANGAN YANG PALSU- Surah Al-Hadid (57:20)
Dunia hanya alat, matlamat akhirat yang kekal abadi. Malam ini aku resah kerana dunia. Jelas aku telah tertipu. Mainan perasaan syaitan untuk menghanyutkan.Terima kasih Tuhanku..Hatiku tenang kembali..
Rabu, 11 Februari 2009
Al-Fatihah Buat Dr Lily
Kenangan bersama Allahyarhamah tidak mungkin pudar dari ingatan kerana aku antara pelajar yang paling baik dengan beliau..kenangan menjadi pengacara majlis perkahwinan anaknya di dewan merak kayangan FELDA tidak mungkin ku lupa..Arwah kerap mengusik ku dengan memanggil ku dengan gelaran "tukang karut"..Ini kerana dalam kelasnya "kaunseling keluarga", aku pernah berlakon watak seorang ayah dengan menggunakan dialek kelantan..masakan mee gorengnya juga masih segar di ingatan, sungguh enak sekali..kenangan solat berjemaah bersama, keluar makan di kedai mamak bersama-sama dengan keluarga beliau juga kadangkala pasti akan menggamit kenangan..
Dr, pastinya aku akan mengingati segala ilmu yg telah kau ajar selama ini..insyaAllah akan ku pahatkan di hati dengan sebaik mungkin segala pesananmu..keperihatinanmu terhadap pelajaranku selama ini amat aku hargai..aku sedih dengan pemergianmu namun aku redha kerana mungkin itulah yang terbaik di sisiNya..aku berjanji akan belajar bersungguh-sungguh..menjadi seorang insan yang dapat berbakti seperti dirimu..malam ini, aku dan rakan-rakan menghadiahkan Yasin buatmu, semoga rohmu aman di sana dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang disayangi oleh Allah S.W.T..
Isnin, 9 Februari 2009
MMG
Terima kasih kolej keenam kerana telah menganugerahkan kepadaku Anugerah Mutiara Gemilang pada Malam Mutiara Gemilang baru2 ini. Bagiku, Aku bukanlah insan yang paling layak untuk menerimanya kerana masih banyak lagi mereka yang hebat-hebat yang berada di kolej keenam ini. Apapun aku bersyukur pada Allah S.W.T dan Ini pastinya akan menjadi salah satu kenangan yang terindah di dalam lipatan sejarah hidupku.Anugerah ini bukanlah penamat kepada sesuatu, tetapi bagiku ianya adalah pemula kepada sesuatu yang lebih besar lagi. InsyaAllah, ia akan menjadi pemangkin semangat kepada aku untuk berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh.
Terima kasih aku ucapkan kepada kedua orang tuaku yang telah membesarkan aku dengan susah payah, anugerah ini adalah untuk kalian berdua walaupun kalian tidak datang untuk menyaksikannya. Betapa aku terlalu menyayangi kalian sebagai seorang anak.
terima kasih juga ku ucapkan kepada Fatiniah kerana sudi datang, abang sangat menghargainya =) Thanks atas hadiah tambahan yang diberikan..kepada rakan-rakan yang lain, terima kasih atas kerjasama yang diberikan.Kepada rakan-rakan mtm lama dan baru, banyak yang ku belajar dari kalian semua.Buat adik-adik, moga kalian juga akan berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh untuk mengejar cita-cita..terima kasih Tuhan atas anugerah Mu yang sungguh bermakna..
Kenapa Menjadi Cicak Kalau Boleh menjadi Naga?

Dream what you dare to dream,
Go where you want to go,
Be what you want to be,
You can if you believe you can,
Believe in yourself and other's will too.
Empayar Kesultanan Melayu Melaka tidak terbina dalam satu hari. Alex Ferguson memerlukan 7 tahun mencipta kejuaraan pertama untuk Manchester United. Abdul Malik Mydin berlatih selama 4 tahun sebelum berjaya merentasi Selat Inggeris. Thomas Alva Edison memerlukan ratusan kegagalan sebelum mencipta mentol. Dr Mahathir memerlukan 22 tahun membangunkan Malaysia seperti hari ini. Michael Schumacher tidak terus menjadi juara F1 semasa mula berlumba dan Siti Nurhaliza juga tidak terus menjadi bintang sewaktu mula menyanyi.
Pekakkan telinga dan buat tak tahu terhadap kritikan yang tidak membina. Teguhkan prinsip dan gandakan usaha. Tentu kita juga akan menjadi seseorang satu hari nanti. Ancaman luar selalunya membuatkan kita semakin kuat, tetapi bisikan hati dari dalam diri akan terus melumpuhkan segala usaha dan impian yang dicita-citakan.
"It was never a physical barrier, it was a mental barrier." (Roger Bannister)
Orang yang tahu apa yang dia cita-citakan akan memulakan langkah ke arah destinasi yang dituju. Halangan sepanjang perjalanan dianggap pemangkin menuju cita-cita kerana dia percaya kepada kepada dirinya sendiri. Sekali dia telah berjaya, semua orang akan mencontohinya.
"Tiada gunung yang tidak dapat didaki. Tiada lurah yang tidak dapat dituruni." Ini antara ungkapan yang biasa kita dengar.
Tidak ada yang mustahil didunia sebenarnya. Berfikirlah secara positif nescaya semua boleh dicapai. Komputer zaman dahulu perlukan sebuah bilik yang besar, tetapi kini sudah ada sebesar tapak tangan dan boleh dibawa ke sana sini.
Mencipta kejayaan akan menjadi mudah sekiranya kita berjaya memecahkan tembok-tembok yang terbina dalam diri kita, iaitu tembok minda dan psikologi. Inilah sebenarnya musuh kita yang paling utama. Bila berlaku kegagalan, kita adakalanya kita lebih suka menyalahkan tembok-tembok luaran yang adakalanya tidak wujud dan ada pula sengaja diwujudkan oleh diri sendiri daripada mencari tembok-tembok yang telah terbina kukuh dalam diri kita.
Sekukuh-kukuh tembok Berlin, runtuh juga akhirnya.
Orang yang membina tembok minda akan memberi alasan yang bukan-bukan untuk mempertahankan dirinya. Waktu adalah elemen yang sering dipersalahkan. Tak cukup waktu lah. Kenapa dijadikan sehari 24 jam sahaja lah. Sedangkan yang bersalah adalah kita yang suka membuang masa. Masa untuk membaca buku digunakan untuk menonton wayang. Masa untuk beriadah digunakan untuk tidur. Masa untuk bekerja digunakan untuk berbual-bual. Masa untuk beribadah digunakan untuk melepak. Sedangkan masa yang Allah peruntukkan 24 jam itu adalah mencukupi. Ia tidak menjadi cukup kerana manusia itu sendiri tidak pernah mengaturnya secara bijak. Sesungguhnya Allah telah bersumpah demi masa bahawasanya manusia itu didalam kerugian melainkan mereka yang memanfaatkannya dengan perkara kebenaran dan kesabaran.
Matahari tidak pernah merungut kerana lambat terbit ataupun kerna bulan menggantikannya terlalu awal. Air pasang surut akan berlaku mengikut masanya. Lembu-lembu dan kambing-kambing di padang ragut tidak pernah kelaparan bila dihalau kembali ke kandang. Kerana tindakan mereka semuanya itu adalah mengikut fitrah mereka sebagai matahari, bulan, tarikan graviti, sifat air, sifat lembu dan kambing. Tetapi manusia sering melarikan diri dari fitrah sebenar iaitu sebagai sebaik-baik makhluk Ilahi. Akhirnya, terciptalah tembok-tembok diri yang merugikan.
Kalau Lat mengikut kata-kata orang ramai dahulu, "Lukis kartun ni boleh hidup ke?", sudah tentu kita tidak ada seorang kartunis Melayu yang tersohor di seluruh dunia. Kalau Roger Bannister mendengar kata-kata pakar-pakar disekelilingnya, sudah tentu kejayaan mencatat rekod larian 1 batu bawah 4 minit tidak dicapai pada tahun 1954. Kalau Dr Stephen Hawking mengalah dengan sakitnya, belum tentu buku 'A Brief History of Time', yang memperkatakan tentang teori-teori kewujudan alam semesta itu wujud. Kalau J.K Rowling berputus asa selepas manuskrip pertama Harry Potter ditolak oleh 12 syarikat penerbitan, sudah tentu kita tidak mengenal watak budak berambut lurus berkaca mata bulat itu.
Ujian, nista, kegagalan yang menimpa bukan selamanya bermaksud hidup kita sudah berakhir. Ia sebenarnya sebagai pengajaran yang berguna supaya kita tidak melangkah masuk ke lubang yang sama sebanyak 2 kali. Kolonel Sanders memulakan perniagaan ayam gorengnya selepas dia gagal dalam perniagaan pertamanya. Siapa sangka, hanya menggoreng ayam secara francais pun boleh menjadikan Kentucky Fried Chicken terkenal di merata tempat.
Rasulullah saw mengajar umatnya agar sentiasa berfikirkan positif dan berjiwa besar. Ekspedisi dakwah Islamiyyah ke Ta'if bersama Zaid b Harithah telah disambut dengan maki hamun dan lontaran batu-batu sehingga diriwayatkan kasut Nabi saw dipenuhi darah yang menitis dari ketingnya. Baginda mengadu kepada Allah dan akhirnya Jibrail as telah datang mengkhabarkan berita bahawa malaikat yang menjaga bukit sedia bertindak untuk menghempaskan bukit kepada penduduk Ta'if tetapi tawaran tersebut telah ditolak lantas baginda bersabda,
"Bahkan, aku berharap supaya Allah melahirkan dari dalam 'salbi' mereka orang yang menyembah Allah azza wajalla dan tidak menyekutui-Nya dengan sesuatu yang lain."
Akhirnya, selepas perisitiwa Hijrah, Ta'if telah menjadi kubu kuat umat Islam. Islam tidak diterima di Mekah, lalu dipilihnya Habsyah, tetapi tidak begitu strategik, lantas baginda mencubanya di Taif, gagal. Akhirnya rakyat Madinah menawarkan tempat untuk pemerintahan baginda saw.
Benar, apa yang berlaku ke atas Nabi saw telah ditetapkan sebegitu. Tetapi itulah tujuan seorang Rasul diturunkan agar segala tindak tanduk dan ajarannya menjadi petunjuk di sepanjang kehidupan kita sebagai Muslim.
Monggol tidak dapat menakluk China kerana wujudnya Tembok Besar China. Kita tidak dapat mencipta sesuatu yang hebat dan bersejarah kerana kita masih belum meruntuhkan tembok-tembok yang wujud dalam diri kita sendiri.
Pekakkan telinga dan buat tak endah sahaja kalau kita yakin apa yang kita buat itu betul. Kenapa perlu ikut cakap orang sedangkan yang bakal melakukannya adalah kita sendiri? Orang lain berkata jangan dan tidak kerana dia yang lemah, bukannya kita. Minda kita sebenarnya mempunyai kekuatan yang terlampau sekiranya kita tahu menggunakannya dengan betul.
Kenapa perlu menjadi seekor cicak sedangkan kita berkuasa umpama seekor naga? Hanya orang bodoh dan lemah semangat sahaja yang tidak meyakini keupayaan diri sendiri. Belajarlah teknik dan cara berbicara dengan minda, InsyaAllah kita akan melakukan sesuatu yang pernah dianggap mustahil pada satu masa dahulu.
Wallahua'lam.
Doa Untuk Kedua Orang Tua
Rendahkanlah suaraku bagi mereka
Perindahlah ucapanku di depan mereka
Lunakkanlah watakku terhadap mereka dan
Lembutkan hatiku untuk mereka
Ya Allah, Berilah mereka balasan yang sebaik-baiknya, atas didikan mereka padaku dan
Pahala yang besar atas kesayangan yang mereka limpahkan padaku, peliharalah mereka sebagaimana mereka memeliharaku.
Ya Allah,
Apa saja gangguan yang telah mereka rasakan atau kesusahan yang mereka deritakan kerana aku, atau hilangnya sesuatu hak mereka kerana perbuatanku, jadikanlah itu semua penyebab runtuhnya dosa-dosa mereka dan bertambahnya pahala kebaikan mereka dengan perkenan-Mu ya Allah, hanya Engkaulah yang berhak membalas kejahatan dengan kebaikan berlipat ganda.
Ya Allah,
Biarlah magfirah-Mu telah mencapai mereka sebelumku,
Izinkanlah mereka memberi syafa'at untukku.
Tetapi jika sebaliknya, maka izinkanlah aku memberi syafa'at untuk mereka, sehingga kami semua berkumpul bersama dengan santunan-Mu di tempat kediaman yang dinaungi kemulian-Mu, ampunan-Mu serta rahmat-Mu
Sesungguhnya Engkaulah yang memiliki Kurnia Maha Agung, serta anugerah yang tak berakhir dan Engkaulah yang Maha Pengasih diantara semua pengasih.
Amin Ya Rabbul Alamin..
Jumaat, 6 Februari 2009
aku dan badminton
Isnin, 2 Februari 2009
Malam ini aku keluar minum dengan kawan-kawan baik di daerah kelahiranku. Ramai juga yang keluar antaranya Din, Apis, Faizal, Firdaus dan Mizi. Kami lepak di kedai Pakdo, sebuah kedai kecil yang terkenal dengan masakan belutnya. Mizi sebenarnya dalam perjalanan menuju ke KL, ingin menghantar atuk dan nenek saudaranya tapi sebelum tue, dia singgah makan dahulu sambil lepak sekejap dengan kami semua. Tengah seronok berborak kosong, kawan baik kami ”Sufian” dari Jepun pulak yang menelefon. Seolah-olah seperti dirancang, kami semua dapat berkumpul pada malam ini. Yang tak ada cuma Rohim dan Zailani (bertugas sebagai wartawan sinar harian di Terengganu). Di sekolah menengah, aku membesar dengan mereka semua. Persahabatan kami terus mekar hinggalah kami menginjak alam dewasa. Banyak pengalaman pahit manis, suka duka yang telah kami kongsi bersama. Dulu biasanya, kalau masing-masing bercuti, pasti kami akan mengadakan perkemahan di mana-mana tempat yang kami ingin pergi tak kiralah sama ada di kawasan air terjun ataupun tepian pantai. Biasanya pada malam tersebut, kami akan berborak sampai pagi Berborak kosong sampai semuanya naik penat dan terbaring di gigi pantai..
Pada cuti kali ini, sebenarnya aku ingin mengadakan perkemahan sekali lagi. Kadangkala aku rindukan saat itu. Pada mulanya, aku bersemangat ingin melakukannya, tapi bila melihatkan keadaan Din yang diserang demam campak, aku rasa tak sesuai untuk melakukannya pada cuti kali ini. Melihatnya pun aku dah tak sampai hati. Habis badan dan mukanya dinaiki campak. Kami bergurau dengan memanggilnya puaka niyang rapik, mangsa bom fosforus di Gaza, bekas tawanan penjara Amerika dan sebagainya.
Di kampung ini lah kawan baikku. Rasanya aku tak ada kawan sebaik ini, yang mungkin mengenal aku luar dan dalam.Sebenarnya aku memang nakal orangnya, cuma sekarang nie jer aku rasa dah berubah jadi baek ckett ..hahaha..kene insap jugak beb sebab umur dah tua :P Jangan mare pada kawan-kawan lama yang membaca
Mengimbas kenangan lama, kadang-kadang akan membuatkan aku tersengih sendirian. Apapun aku bersyukur pada Allah kerana walaupun masih belajar (alhamdulillah dah semester akhir), aku tetap menjadi manusia. Kalau dilihatkan cara hidup aku dulu, aku pon konpius dengan diri aku. Betul ke aku nii?? Dulu aku sememangnya tak begitu kuat dalam belajar, lebih banyak main. Setiap malam memang tak dapat study selagi tak keluar rumah jumpa dengan kawan-kawan. Fikiran mesti kat luar rumah je walaupun duduk di meja study. Jadi kenalah keluar dulu maen motor, minum-minum kat kedai, borak-borak kemudian baru balik rumah. Ibuku memang dah tak leh nak buat apa. Katanya terpulang lah pada aku untuk mencorakkan masa depan ku sendiri, seksok jangan dok menyesal. Rekod kedatangan di sekolah semasa tingkatan 5, seingat-ingat aku, akulah orang yang kedua terbanyak tak pergi sekolah selepas Hakam. Takpun aku orang first dan dia nombor dua. Kami saling potong memotong di antara satu sama lain dalam mencipta rekod berkenaan.(walaupun sebenarnya kami mengharapkan ada orang lain yang memotong rekod kami). Jangan marah Hakam yer, memang dah realiti punn.Tapi budaya ponteng memang jadi perkara biasa di sekolah kami (sekolah lelaki maa). Tapi bila time exam, setahu aku si Hakam ni lah yang gempak. Entah toyol cap apa yang digunanya, mungkin Cap kipas Udang kot..hahaha..Guru kelas ”Cikgu Norma” pun pening kepala jugak di buatnya.
Sesuatu yang agak pelik dari kebiasaan, di sekolah ku kebanyakannya budak-budak yang ponteng ni lah yang dapat result bagus-bagus. Hemm, tapi memang wajar sebab kat sekolah pun tak study jugak, banyak main jee. Semasa di form 5, ketika itulah kami terpaksa cover segala-galanya termasuk sukatan pelajaran form 4. Ketika di form 4, kami ada peperiksaan SMU jadi fokus lebih terarah ke situ berbanding SPM. Jadi dengan sebegitu banyak topik dan sukatan yang perlu dihadam, mungkin kami pikir lebih baik belajar je di rumah daripada pegi sekolah. Apapun, ponteng pun ada had jugak. Seminggu koman-koman tiga hari kena la jugak pegi sekolah. Memang best lah sekolah laki nie, sebab semuanya sempoi bagiku..=)
(Aku harap blog ini tidak akan dibaca oleh anak-anakku nanti, contoh teladan yang tidak baik buat mereka.)
Walaupun banyak main, nakal tapi aku sedar aku ada suatu kemahuan. Sedasyat mana pun aku, aku tetap nak masuk universiti macam kakak dan abang dan menggembirakan kedua ibu bapaku. Aku nak jadi seorang yang berguna dan iltizam ini memang dah lama mengalir dalam darah dagingku. Aku mahu ibu bapa ku gembira kerana melahirkan anak seperti ku, dan kerana itulah walaupun malas, walaupun nakal, aku tetap kena berusaha jugak untuk belajar. Dan alhamdulillah, dengan result SPM yang sederhana aku akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke UPM. Di sini aku lebih banyak belajar dan terus belajar.. Hmm, kadangkala bila mengimbas kenangan lama nie, agak menyeronokkan jugak yer..
Succession Planning UiTM
Aku sendiri pun tidak tahu dimanakah aku harus bermula utk mencoretkan kisah pada kali ini. Banyak sangat perkara yang berlaku sejak cuti hinggalah sekarang. Perkara yg berlaku itu bagiku semuanya memberi manfaat dan pengalaman yg berguna. Permulaan cuti raya cina ini, aku mengikuti One Step Management Consultant Sdn Bhd, sebuah syarikat perunding motivasi tempatku bekerja secara part time ke Trolak Resort, Perak. Di sana ada training ”Succession Planning” utk para pensyarah UiTM yang terpilih yang datang dari seluruh Malaysia. Mereka ini adalah golongan yang bakal menjadi pemimpin UiTM pada masa akan datang. Semuanya hebat-hebat belaka. Ada yang tua dan ada juga yang masih muda. Banyak pendedahan yang aku pelajari sepanjang mengikuti training ini walaupun posisiku adalah sebagai ”assistant fasilitator”. Yang paling utama, aku dapat belajar tentang cara untuk memberi training kepada golongan korporat dan dalam masa yang sama aku belajar tentang ”kehidupan dan personaliti seorang pensyarah”. Lazimnya di hadapan anak-anak murid, sifat pensyarah adalah agak formal. Kebiasaannya mereka yang memberi arahan dan berceloteh itu dan ini, tapi pada training ini situasi sebaliknya yang berlaku. Mereka pula yang menerima arahan, mendengar celoteh dan melakukan modul-modul yang membuatkan aku berfikir ” lacturer ni pun sebenarnya macam student jgk, sempoi dan gila-gila jgk orangnya, time ni lah dapat tengok sorang-sorang perangai macam budak-budak”..hahaha...seronok melihat mereka melakukan aktiviti dan di situlah yang menzahirkan bahawa kehidupan kita ini, setiap orang mempunyai kelebihan dan bidang kepakaran masing-masing. Walaupun mereka itu lacturer, tapi tidak ramai di antara mereka yang mempunyai pengalaman berorganisasi. Maksud ku pengalaman dalam mengikuti program, melakukan modul-modul dan sebagainya. Syukur alhamdulillah, walaupun masih bergelar pelajar, dah banyak pendedahan tentang program dan modul yang telah aku ikuti dan lalui.Inilah untungnya bila menjadi seorang pelajar yg aktif di universiti.Aisehh, bangga dirilah plak..hehehe..Hmm, tapi memang ini realitinya. Banyak modul yang dilakukan telah aku lalui sebelum ini. Apapun terima kasih kepada One Step kerana telah mengajar aku banyak perkara.Yang paling penting macam mana nak kendalikan kursus atau program secara lebih profesional !!
Di sini juga aku nak mengulas tentang modul-modul yang agak menarik pada pemerhatianku. Modul yang tak pernah aku lalui sebelum ini iaitu permainan samurai dan membina menara. Modul tesebut memang sangat bagus terutamanya untuk kursus “team building”. Falsafah yang diajar disebalik modul samurai iaitu disiplin, dedikasi dan determinasi adalah sangat bagus. Memang ketiga-tiga prinsip itu sangat penting untuk menjadi seorang manusia yang berjaya. Masyarakat Jepun berjaya kerana 3 prinsip tersebut yang diadaptasi daripada semangat samurai hingga mampu membuatkan negara mereka jauh terkehadapan berbanding negara-negara asia yang lain. Walaupun pelaksanaan modul samurai ini dilaksanakan dalam keadaan yang agak santai (suasana serius tapi hakikatnya kelakar dengan karenah Mr Nakamura), tapi falsafah disebaliknya adalah sangat berguna. DISIPLIN, DEDIKASI (Buat kerja dengan bersungguh-sungguh) dan DETERMINASI (Buat kerja sampai habis) !! Membina menara pula merupakan satu modul yang memerlukan kerjasama dari semua pihak untuk memastikan satu menara yang paling tinggi dapat dihasilkan. Pada modul ini, kerjasama dan penglibatan dari semua ahli pasukan diperlukan bagi memastikan menara tertinggi terhasil. Disinilah dapat dilihat ”esprit de corp” setiap ahli pasukan. Aku kepingin sekali untuk memperkenalkan modul ini kepada ahli kolejku kalau diberi kesempatan untuk mengendalikan mana-mana kursus kepimpinan selepas ini.
Satu lagi perkara yang menarik perhatian ku ialah perkongsian daripada Shogun (ketua peserta) iaitu Dr Rahim. Beliau berkongsi dengan audien tentang kisahnya yang berasal dari keluarga yang berpecah belah dan kerjayanya yang bermula daripada seorang pelukis jalanan. Berkat ketabahan dan fokus yang tinggi (melalui pengamatan ku) akhirnya beliau berjaya mencapai apa yang ada pada dirinya pada hari ini. Hakikatnya, aku memang melihat sesuatu yang menarik pada Dr. Rahim ini. Personaliti dan suaranya sahaja sudah mengeluarkan auranya yang tersendiri. Apapun, beliau memang humble walaupun kadangkala outspoken (”sesuatu yang diakui oleh dirinya sendiri”). Dalam diam, aku kagum dengan beliau dan semangatnya belajar membakar semangatku untuk belajar hingga ke peringkat yang tertinggi. Mudah-mudahan di permudahkan oleh Allah S.W.T.
Alhamdulillah, hakikatnya banyak yang aku pelajari. Mudah-mudahan banyak lagi ilmu dalam bidang training yang dapat aku belajar kerana aku percaya minatku bertapak di sini. Sejak di bangku sekolah lagi aku mengimpikan untuk menjadi seorang pakar motivasi. Mudah-mudahan inilah salah satu jalan yang Allah lorongkan untukku terus menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam bidang ini.